Waspada dengan cuaca panas, kering





Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Azmah Haji Ahad





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 28 Mac. - Negara Brunei Darussalam mengalami keadaan sedikit berjerebu sejak minggu lalu yang mana keadaan berjerebu berkenaan adalah disebabkan oleh jerebu asap yang diakibatkan oleh kebakaran hutan akibat cuaca panas.

 

Secara amnya, pada masa ini negara berada di penghujung fasa kedua Monsun Timur Laut.

 

Semasa tempoh ini, pada kebiasaannya keadaan atmosfera cenderung lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

 

Sejak 21 Mac yang lalu, NBD telah mengalami cuaca panas melampau atau biasa dikenali sebagai kejadian gelombang haba pada waktu siang.

 

Suhu maksimum harian yang telah direkodkan di beberapa kawasan di negara ini telah mencapai sekurang-kurangnya 35°C berturut-turut dalam beberapa hari kebelakangan ini.

 

Keadaan ini juga disebabkan oleh pengurangan aktiviti turunan hujan yang mana setakat ini jumlah turunan hujan yang direkodkan di Stesen Pencerapan Cuaca, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi bulan Mac 2024 adalah sebanyak 5.6 mm iaitu jauh di bawah jumlah normal sebanyak 143.4 mm.

 

Bagi minggu terakhir bulan Mac ini, cuaca masih diramalkan panas dan kering, dengan pengurangan jumlah dan aktiviti hujan.

 

Suhu maksima harian dijangkakan boleh mencecah antara 33°C hingga 36°C.

 

Oleh itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan keselamatan akan keadaan cuaca panas dan kering yang diramalkan berlaku.

 

Para pengguna jalan raya terutama sekali pengguna lebuh raya Muara-Tutong menuju ke daerah Belait dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

 

BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

 

Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit BDMD, iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

 

Catatan suhu maksimum harian bagi kawasan-kawasan di Negara Brunei Darussalam boleh didapati melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

 

Manakala, maklumat cuaca terkini boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn dan melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX.

 

Close